KUALA LUMPUR 20 Jun – Pemilihan pucuk pimpinan UMNO 2018 dilihat sebagai paling meriah dengan tujuh calon bertanding jawatan Presiden, tiga lagi bertanding Timbalan Presiden, lapan bertanding Naib Presiden dan 124 calon bertanding Ahli Majlis Tertinggi.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kemeriahan itu seperti satu pesta besar iaitu pesta keluarga UMNO.
“Kalau semua memandang positif dan tiada siapa mengeluarkan kata-kata kesat atau saling menyindir lawannya, pertandingan ini adalah suatu pembaharuan besar.
“Bukan hanya untuk UMNO tetapi keseluruhan masa depan politik Melayu negara ini. Politik tidak menyanggah perlu diberi pentakrifan baharu,” katanya menerusi laman Facebook hari ini.
![]() |
|
AHMAD SHABERY CHEEK
|
Menurut beliau, Tengku Razaleigh adalah seperti ayah manakala Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula adalah abang sulung dengan Khairy Jamaluddin sebagai adik bongsu.
“Semua disayangi. Masing-masing membawa misi yang sama, menyelamatkan keluarga yang terancam.
“Ayah ada kebijaksanaan. Abang Long menganggap ini tanggungjawabnya mengganti nakhoda menyelamatkan kapal yang hampir tenggelam, bagi adik bongsu yang gagah perkasa, dialah penggalang tubuh menangkis apa jua bahaya mendatang,” katanya.
Ahmad Shabery berkata, perkara ini merupakan semangat keluarga besar UMNO walaupun ramai yang berpendapat bahawa ketiga-tiga calon Presiden itu sepatutnya duduk berbincang apa yang sebaiknya di saat kapal hampir karam di mana berebut menjadi nakhoda bukan penyelesaiannya.
“Namun ramai pula yang berkata, UMNO sudah lama dilanda sindrom tiada pertandingan. Tradisi bermula zaman Mahathir-Anwar. Tiada pertandingan tiada jaminan UMNO tidak berpecah.
“Mahathir-Anwar pecah, Mahathir-Ghafar pecah, Najib-Muhyiddin pecah dan paling terakhir, resolusi tiada tandingan Najib-Zahid pun antara penyebab UMNO ditolak,”katanya.
Oleh itu katanya, pertandingan dalam pemilihan UMNO 2018 itu akan bermula semula satu tradisi kemuliaan yang sekian lama terhapus. – UTUSAN ONLINE












