KEPALA BATAS 20 Jun – Polis Seberang Perai Utara (SPU) menahan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian pecah masuk sebuah stesen minyak di Jalan Kampung Paya di sini awal pagi semalam.
Suspek terbabit dipercayai masuk ke premis itu melalui pintu hadapan yang pecah pada pukul 4.20 pagi dan terus menghala ke arah kaunter pembayaran sebelum membuka laci duit dan menuju keluar.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada pekerja stesen itu yang kemudiannya memaklumkan kepada majikannya.
“Suspek dipercayai masuk melalui pintu hadapan yang pecah dan dihalang dengan sebuah kabinet untuk mengelakkan orang masuk dan diikat dengan tali nilon.
“Stesen itu dilengkapi dengan kamera litar tertutup dan pemeriksaan mendapati suspek memakai topi keledar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pihak polis merampas satu unit beg sandang, satu unit topi keledar, enam kotak rokok selain wang tunai sebanyak RM4006 daripada suspek selain dua paket plastik lutsinar berisi serbuk kristal dipercayai syabu daripada suspek yang tiga tiga jam selepas kejadian.
Jelas Noorzainy lagi, ujian saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine dan dua daripada mereka memiliki empat rekod jenayah lampau berkaitan pecah rumah, ceroboh dan dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan ketiga-tiga suspek telah dibawa ke Mahkamah Butterworth hari ini bagi mendapatkan perintah reman. – UTUSAN ONLINE











