KOTA BHARU – Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah hari ini menyeru mana-mana ahli UMNO yang memperjuangkan Islam untuk menyertai parti itu.
Beliau berkata, Pas sentiasa terbuka untuk menerima mana-mana pihak yang boleh menerima dasar parti itu untuk bersama Pas bagi terus memartabatkan Islam di Malaysia.
“Rancangan (untuk tarik ahli UMNO sertai PAS) itu tak ada tapi pintu kita sentiasa terbuka. Siapa sahaja yang boleh bersama dan menerima perjuangan kita sangat dialu-alukan sebab kita tak bermusuh secara peribadi tetapi bermusuh dari segi perjuangan politik.
“Yang mana ada cita-cita (nak memartabatkan) Islam semua tu duduk dengan kita, perkuatkan perjuangan Islam di Malaysia untuk masa depan. Kita percaya ada ahli UMNO yang semangat Islamnya tinggi yang bercita-cita nak tengok Islam berjaya cuma dia pilih UMNO (sebagai wadah perjuangan),” katanya selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.
Ditanya mengenai masa depan UMNO, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, ini merupakan masa yang tepat untuk parti itu dibubarkan kerana UMNO tiada apa-apa lagi untuk ditawarkan kepada rakyat. – Bernama











