KUALA TERENGGANU – Anak bongsu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Datuk Mohd. Jidin Shafee maut selepas motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di simpang tiga Jalan Sultan Zainal Abidin di sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 5 petang itu mengakibatkan Muhammad Izzat Husaini Mohd. Jidin, 17, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini selepas mengalami kecederaan parah pada beberapa anggota badan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Abd. Razak Hasan berkata, kejadian berlaku apabila motosikal mangsa bertembung dengan kereta jenis Proton Persona dipandu seorang wanita berusia 30 tahun.
“Pemandu wanita dari arah Pasar Payang itu dikatakan ingin membelok ke kanan sebelum motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan melanggar bahagian hadapan kiri kereta tersebut.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke HSNZ dan disahkan meninggal dunia pada pukul 5.40 petang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.











