SIMALUNGUN, Indonesia – Beratus-ratus petugas penyelamat mencari mangsa terselamat semalam selepas sebuah feri membawa 80 orang karam di Indonesia, kata Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).
Feri kayu itu belayar di Danau Toba, sebuah destinasi pelancongan popular di Pulau Sumatera apabila ia karam tengah hari kelmarin.
Pihak berkuasa berkata, sekurang-kurangnya seorang ditemui mati dan 18 yang lain berjaya diselamatkan.
Namun, beberapa pegawai tempatan memberitahu, berpuluh-puluh orang masih hilang hampir sehari selepas feri tersebut tenggelam.
“Kira-kira 130 orang dilaporkan hilang oleh waris mereka di kawsan itu tetapi tidak jelas sama ada mereka menaiki feri tersebut. Justeru, kami sedang mencari mereka,” kata Ketua BNPB Sumatera Utara, Riadil Lubis.
Pihak berkuasa percaya feri yang tenggelam di Danau Toba itu beroperasi secara haram kerana tiada rekod penumpang atau tiket.
Setakat ini, masih tidak jelas sama ada rakyat asing turut menaiki feri tersebut.
Waris mangsa yang sedih dan bimbang terus menunggu berita operasi menyelamat termasuk seorang mangsa terselamat yang kehilangan anaknya dalam tragedi itu.
“Kemalangan itu berlaku sungguh cepat,” kata Juwita kepada saluran berita tempatan, TVOne.
Pencarian dihentikan petang kelmarin akibat cuaca buruk dan jarak penglihatan yang terhad tetapi disambung semula pagi semalam dengan kira-kira 350 petugas terlibat dalam usaha menyelamat.
Rakyat Indonesia masih meraikan Hari Raya Aidilfitri sejak Jumaat lalu, manakala berjuta-juta orang mengambil kesempatan untuk melancong termasuk mengunjungi Danau Toba.
Tasik itu mengisi kawah sebuah gunung berapi super yang dipercayai meletus ribuan tahun dahulu.
Kemalangan maritim biasa berlaku di Indonesia, negara yang terdiri daripada 17,000 buah pulau di mana ramai rakyatnya bergantung kepada perkhidmatan feri dan bot di sebalik standard keselamatan yang lemah. – AFP











