Azmin yakin ketokohan Amirudin - Utusan Malaysia

Azmin yakin ketokohan Amirudin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG 19 Jun – Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin ketokohan dan kewibawaan Amirudin Shari yang menggantinya mulai hari ini akan membawa lebih kejayaan kepada Selangor serta rakyat.

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, Amirudin layak menjawat jawatan tersebut kerana merupakan Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang amat berpengalaman dalam pengurusan kerajaan negeri.

‘Saya amat yakin dengan ketokohan dan kewibawaan Amirudin memandangkan beliau Exco dan ADUN yang amat berpengalaman dalam pengurusan kerajaan dan beliau juga merupakan tenaga muda yang akan dapat meneruskan legasi kejayaan Selangor.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dengan pasukan Exco yang ada, saya amat yakin mereka akan memberi kerjasama baik kepada Amirudin dan dengan perpaduan ini, Selangor terus kekal maju,” katanya ketika ditemui selepas istiadat pelantikan Amirudin di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Kepada soalan mengenai dakwaan ADUN Ijok, Dr. Idris Ahmad yang mendakwa Amirudin tidak mendapat sokongan Pakatan Harapan dan hanya restu beliau seorang sahaja, Mohamed Azmin berkata, biar kepemimpinan parti menjawab perkara itu.

“Saya tidak mahu terjebak dalam polemik seperti ini kerana perbincangan berlangsung dengan baik dan sudah tentu dengan semangat konsensus (dalam PKR dan Pakatan Harapan) bagi kestabilan Selangor,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai kritikan banyak pihak memandangkan Amirudin bukan anak jati Selangor kerana lahir di Johor, Mohamed Azmin berkata, ia bukan persoalan mengenai kenegerian tetapi soal kelayakan.

“Parti bincang perkara ini dan hasil konsensus yang kita capai, kita yakin Amirudin calon terbaik dan saya secara peribadi juga yakin sebab dia telah mempamerkan kualiti dan mutu terbaik sewaktu menjadi Exco,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini