KUALA TERENGGGANU 19 Jun – Kira-kira 3,000 anak Terengganu di perantauan tidak melepaskan peluang menjayakan program Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Menteri Besar Terengganu Bersama Anak Terengganu di Perantauan 2018 di Duyong Marina & Resort baru-baru ini.
Kesemua anak perantau itu termasuk kalangan profesional yang berkhidmat di luar Terengganu antaranya di Singapura, Sabah dan Sarawak sejak puluhan tahun dan mereka kembali untuk sama-sama menyumbang idea, pengalaman serta kepakaran kepada kerajaan negeri bagi membangunkan lagi Terengganu.
Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut menjayakan sesi dialog bersama hadirin.
Berita berkaitan:
Turut serta dalam dialog tersebut ialah Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Perantau, Prof. Dr. Kamaruzaman Yusof manakala Kamaruzaman Abdullah bertindak sebagai moderator.
Program itu yang berlangsung di Dewan Konvensyen Duyong Marina & Resort bermula kira-kira pukul 8 malam dan berakhir hampir 12 tengah malam.
Selain sesi ramah mesra bersama tiga tetamu istimewa itu, upacara pengagihan duit raya turut diadakan yang disampaikan oleh Menteri Besar.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, program itu diadakan bagi mendekatkan kerajaan negeri dengan anak-anak Terengganu di perantauan untuk sama-sama merasai kemeriahan Hari Raya Aidilfitri.
Beliau turut menarik perhatian, ia juga diadakan sebagai tanda kesyukuran atas kepercayaan rakyat kepada Pas selaku kerajaan negeri yang baharu untuk mengurus tadbir Terengganu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Kita harap program seperti ini menjadi medan sesuai untuk menerima pelbagai cadangan daripada rakan-rakan perantau dalam usaha membangunkan lagi Terengganu,” katanya.











