KUANTAN – Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) berhak meraih kemenangan dalam aksi menentang Pahang pada saingan Liga Super semalam, setelah menguasai keseluruhan permainan.
Ketua Jurulatihnya, Raul Marcos Longhi Aizpun berkata skuad kendaliannya memberikan persembahan terbaik dan perlu akur dengan kemenangan tipis yang dicatatkan.
“Kemenangan pada perlawanan malam ini amat penting buat kami…apatah lagi kami berjaya menguasai permainan.
“Kami juga mendapat tiga hingga empat peluang untuk mencipta jaringan tetapi gagal untuk memanfaatkannya ketika keputusan terikat 1-1.
“Serangan pantas pada minit akhir perlawanan merupakan peluang besar bagi kami untuk mencipta jaringan tetapi sebaliknya kami dihadiahkan dengan penalti yang akhirnya berjaya menghasilkan gol…jadi saya gembira dengan hal ini,” katanya selepas perlawanan di Stadium Darul Makmur di sini, semalam.
Raul berkata, beliau bagaimanapun menghormati skuad Pahang sebagai pasukan yang kuat dan anak buahnya dilihat perlu bekerja keras untuk mengawal situasi.
Sementara itu, pengendali Pahang Dollah Salleh berkata, beliau masih berpuas hati dengan prestasi skuad bimbingannya yang turun tanpa enam tonggak utama.
“Kita memasukkan enam pemain muda tetapi masih boleh memberikan tekanan kepada JDT terutama aksi pada separuh masa kedua.
“Mereka sudah memberikan yang terbaik dan boleh dikatakan hampir meraih kemenangan tetapi nasib tidak menyebelahi kita,” katanya.
Pada perlawanan malam tadi, JDT terus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Super apabila menang 2-1 ke atas Pahang. – Bernama











