Malu jika Kelantan ‘turun pangkat’ - Utusan Malaysia

Malu jika Kelantan ‘turun pangkat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEGENDA bola sepak Kelantan, Mohd. Hashim Mustapa mengakui The Red Warriors (TRW) bakal mendapat malu besar sekiranya pasukan itu ‘turun pangkat’ ke saingan Liga Premier musim depan.

Mohd. Hashim berkata, bukan itu sahaja, kegagalan mengekalkan posisi terbaik dalam Liga Super juga boleh menjejaskan peluang skuad Pantai Timur tersebut untuk beraksi dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

Menurutnya, dia amat berharap TRW tidak tergelincir ke Liga Premier musim depan kerana pasukan itu sudah sedekad beraksi dalam saingan Liga Super.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun sudah 10 tahun berlalu, namun kita masih utuh, prestasi tidak menjunam dan jatuh ke Liga Premier berbanding Pulau Pinang serta Negeri Sembilan yang pernah turun naik. Tidak seperti Perlis yang terjerumus dan tak naik-naik, anda lihat di mana mereka sekarang (Piala FAM).

“Bagi saya, Kelantan tidak boleh meletakkan sasaran lebih tinggi, sebaliknya memadai di kedudukan kesembilan atau ke-10 dengan mengambil kira situasi semasa pasukan (tangga tercorot),” katanya.

Mohd. Hashim berharap ada sinar buat TRW untuk kekal dalam Liga Super ketika saingan liga domestik utama itu hanya berbaki tujuh perlawanan.

Katanya, sebagai bekas pemain dan jurulatih yang pernah berkhidmat bersama pasukan dia tidak rela TRW turun pangkat.

“Anda kena ingat, ketika itu (2009) Kelantan beruntung kerana PDRM (Polis Diraja Malaysia) tarik diri sehingga diberi ‘tiket percuma’ oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas meraih tempat ketiga Liga Premier.

“Sayang apabila sudah jatuh, belum tentu kita boleh naik ke atas (kembali ke Liga Super) semula musim be­rikutnya. Secara peribadi, saya percaya masih ada peluang tapi kena realistik,” ujar­nya.

Mohd. Hashim berharap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dapat memberi semula peluang kepada pemain senior untuk kembali memperkuatkan pasukan mengharungi baki perlawanan.

“Saya fikir kita tak boleh bergantung pada pemain muda sahaja, perlu ada gabungan muda, lama dan import.

“Kita serahkan kepada pemangku jurulatih Yusri Che Lah untuk tentukan corak permainan pasukan.

“Pemain seperti Piya (Mohd. Badhri Radzi) kena ada dalam pasukan. Namun, dia perlu diberikan masa yang cukup kera­na sudah terlepas sembilan perlawanan dan perlukan masa untuk kembali meningkatkan kecergasan bersaing de­ngan pemain muda,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini