Ikatan silaturahim dua jiwa berkongsi hati - Utusan Malaysia

Ikatan silaturahim dua jiwa berkongsi hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hampir dua dasawarsa sudah berlalu. Dua insan berkongsi hati ini terus mensyukuri nikmat kehidupan di atas muka bumi. Peristiwa masyhur kira-kira 20 tahun lalu yang menjadi epitome kemuliaan empati sesama manusia itu akan sentiasa diingati rakyat Malaysia.

Biarpun kedua-duanya tidak lagi sering bersua, namun secebis hati Wan Mhd. Hafizam Wan Ismail, 42, yang ada pada Muhammad Afiq Iqmal Muhammad Zaini, 20, bagai sentiasa menyatukan kedua-duanya.

Mudah disebut sebagai Hafizam dan Afiq, kemesraan kedua-duanya saat bertemu bak terpupuk dari lubuk hati yang dalam. Hafizam yang dahulunya pernah menggemparkan negara kerana nekad untuk mendermakan organ hatinya kepada bayi bukan darah dagingnya itu terus menjadi wira bagi Afiq.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Makanlah lagi, tambah. Kasi kuat sikit,” kata Hafizam sambil mengeluarkan beberapa ketul nasi impit dari plastik lutsinar di atas piring Afiq.

“Tak mahulah, nanti sakit perut,” senda Afiq sambil tersengih ceria.

Itu antara babak ketika pertemuan di rumah Hafizam di Kampung Baru, Kuala Lumpur menjelang Aidilfitri baru-baru ini. Dalam pertemuan tersebut, ia disertai oleh ahli keluarga kedua-duanya yang turut mengimbas momen bersejarah itu.

Pada 3 April 1999 di Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor menjadi saksi kemurnian jiwa seorang jejaka apabila menjalani pembedahan mendermakan sepertiga hatinya demi menyambung hayat seorang bayi bermasalah hati berusia 14 bulan yang dikatakan hanya mampu hidup lapan bulan lagi.

Transplan pemindahan hati Hafizam yang ketika itu merupakan pembantu tadbir di Klinik Kesihatan Pelajar, Universiti Malaya kepada Afiq mencipta sejarah baharu tanah air apabila ia peristiwa pertama pendermaan organ tanpa pertalian keluarga di negara ini.

Afiq yang berbaju Melayu ungu dalam pertemuan itu berkata, dia terhutang budi dengan Hafizam dan akan setiasa mendoakan kesejahteraan lelaki itu yang dipanggil Pak Anjang.

“Saya gembira dapat bertemu Pak Anjang. Saya pun sudah tidak berapa ingat bila Aidilfitri terakhir kami berjumpa.

“Saya berdoa Pak Anjang sihat selalu. Hari-hari saya doa,” ujar bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Rawang, Selangor itu yang pernah mengikuti kelas tahfiz di surau berhampiran rumahnya.

Firasat

Lebih sayu, kebaikan yang dibenihkan hati Hafizam mencambahkan kebaikan dalam jiwa Afiq apabila pemuda itu turut berazam mengikut jejaknya menjadi insan yang bermanfaat kepada orang lain.

“Saya hendak menjadi seperti Pak Anjang, saya mahu tolong orang walaupun mungkin dengan cara berlainan,” tutur Afiq bersungguh-sungguh. Afiq kini bekerja membantu bapanya, Muhammad Zaini Drahim, 46, mengusahakan perniagaan katering.

Hafizam memberitahu, kali terakhir bertemu Afiq kira-kira empat tahun lalu apabila remaja itu terlantar tenat di Hospital Selayang kerana mengalami jangkitan kuman selepas pulang dari menunaikan umrah.

Umpama gerak hati atau firasat, Hafizam berkata, dia merasai suatu keanehan pada dirinya sekiranya sesuatu menimpa Afiq.

“Setelah menderma hati, saya merasakan ada ‘pertalian’ dengannya. Apabila saya berasa tidak sedap hati mesti ada sesuatu yang berlaku pada Afiq sehinggalah saya dimaklumkan Afiq tidak sihat.

“Apabila melihat dia sakit, saya tidak boleh menunjukkan kesedihan di depan dia kerana saya perlu kuat untuk memberinya semangat,” ujar bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Hafizam berkata, hubungan silaturahim antara dia dan Afiq sekeluarga terus terjalin walaupun mereka kini berjauhan. Hafizam kini bertugas sebagai penasihat sebuah pusat ekuestrian di Pulau Pinang manakala Afiq di Selangor.

Kesusahan

“Setiap kali Aidilfitri keluarga Afiq akan menziarahi keluarga saya di Kedah. Cuma, saya yang mereka tidak dapat berjumpa kerana saya biasanya bekerja pada hari raya kerana memberi peluang staf yang lain bercuti.

“Bekerja dengan kuda ini lain. Isteri saya, Ruzailina Zainal Abidin, 49, juga memahami dan adakalanya kami beraya di kandang kuda,” katanya.

Menurut lelaki dari Changlun itu, pembedahan tersebut tidak sedikit pun memberi kesan buruk kepadanya bahkan dia berasa seperti menjadi insan yang baharu. Dia lebih sihat dan berani. Jika sebelumnya dia hanya meminati muzik dan kesenian, selepas menderma hati dia meneroka aktiviti lasak seperti menunggang kuda dan melakukan terjunan lebih 1,000 meter dari udara dengan payung terjun.

“Selepas menderma hati, saya rasa seperti perjalanan hidup saya dipemudahkan dan dimurahkan rezeki. Saya telah menunaikan haji sebanyak dua kali dan umrah sebanyak tiga kali.

“Sekarang saya juga sukar untuk bersedih. Barangkali bahagian hati sedih saya sudah tiada,” selorohnya yang baru dua bulan lalu dilantik sebagai Pengarah Briged Ekuin Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sudah biasa diduga dengan kesukaran hidup sejak kecil menjadikan Hafizam mudah menyelami kesusahan hidup orang lain.

“Ibu bapa saya bercerai sejak saya darjah dua. Saya terpaksa mengambil upah menjual ikan selepas pulang sekolah. Ikan yang pecah perutlah yang saya bawa pulang untuk beri emak makan. Pada hari raya, saya sekadar melihat keseronokan orang lain berbapa, makan bersama bapa.

“Adakalanya di rumah sebutir beras pun tidak ada. Saya membawa tempurung meminta beras daripada jiran. Sekali dua bolehlah, kali ketiga makan apa yang ada. Sebab itu saya begitu memahami erti kesusahan.

“Bagi saya, Aidilfitri bererti kemenangan melawan hawa nafsu dan menjaga hubungan sesama manusia. Itulah yang saya praktikkan dalam kehidupan,” katanya.

Muhammad Zaini berkata, anak sulungnya, Afiq mengalami kerosakan hati ketika bayi kerana penyakit biliary atresia yang menyebabkan demam kuning berpanjangan.

“Keadaan anak saya sangat kritikal, toksik semakin terkumpul di hatinya dan doktor beritahu hati anak saya dah nak rosak. Kalau hati tidak berfungsi, manusia tidak boleh hidup. Dalam kes ini, walau kos pembedahan RM300,000 mencukupi tetapi tiada makna tanpa hati. Alhamdulillah, Allah datangkan penderma hati terlebih dulu iaitu Hafizam,” katanya.

Pengusaha katering al-Barakah cawangan Rawang itu berkata, tahun ke tahun, Afiq membesar dan boleh menguruskan dirinya sendiri meskipun dia orang kelainan upaya.

“Saraf bahagian kanan tubuh badannya menegang menjadikan dia agak sukar sedikit untuk berjalan dan membataskan pergerakannya. Ini mungkin kerana ada uratnya yang terganggu berikutan sejak bayi dia terpaksa mengharungi tiga pembedahan. Sebelum pembedahan transplan hati, dia menjalani pembedahan prosedur kasai (pembuangan salur hempedu) sebanyak dua kali untuk merawat masalah penyakitnya namun belum berjaya dipulihkan.

“Sebagai bapa, apa yang saya harapkan, anak saya sihat dan dipanjangkan umur,” kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Ibu Afiq, Shamsinar Salimen, 46, berkata, apa yang dilakukan oleh Hafizam itu telah membuka mata rakyat Malaysia bahawa pendermaan organ sebenarnya boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.

“Sebelum Hafizam, pendermaan organ hanya berlaku dalam kalangan mereka yang ada pertalian keluarga. Ahli keluarga saya telah cuba untuk menderma hati kami tetapi menurut doktor, tidak bersesuaian.

“Alhamdulillah, Hafizam dan anak saya sihat, sudah 20 tahun pun. Tanpa Hafizam, saya tidak tahu apa akan jadi kepada anak saya,” ujar Shamsinar.

Hafizam dan Afiq yang pernah mencipta sejarah transplan hati pertama tanpa pertalian keluarga bercerita mengenai 
‘pertalian hati’ yang terjalin selama kira-kira dua dekad.

Hafizam bergambar bersama anaknya, Wan Mhd. Danish Hazim semasa berhari raya di kandang kuda di Pulau Pinang, tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini