KUALA LUMPUR – Gara-gara berselisih faham dengan ibu tirinya, pelakon popular, Nabila Huda dikesan melepaskan perasaan geram di Instagram.
Kata selebriti itu, dia turut mendakwa mendapat layanan buruk sejak ibu tirinya yang lebih dikenali dengan panggilan Norish Hassan mendirikan rumah tangga dengan bapanya.
Di akaun Instagram tersebut, Nabila meluahkan pelbagai rasa tidak puas hati terhadap ibu tirinya itu.
Pada masa sama, penyanyi lagu X-Ray itu turut berkongsi pengalaman didakwa sebagai amat memeritkan sepanjang tempoh 18 tahun dia bersama Norish.
Bagaimanapun, Nabila mengakui, dia telah memaafkan tindakan wanita itu meskipun mendapat layanan buruk beberapa kali.
Nabila sebelum ini pernah berkahwin dengan Zaidy Zailani pada tahun 2008 namun berpisah sebelum berkahwin pula dengan Mohd. Izwan Johar pada 2015. Hasil perkahwinan dengan Zaidy, Nabila dikurnia seorang anak iaitu Keisha Laila, 7.
Sementara itu, usaha Kosmo! untuk mendapatkan penjelasan daripada Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman tidak berjaya.
Amy dan Norish mendirikan rumah tangga sekitar 2003 dan mereka dikurniakan tiga anak iaitu Alexander Zulkarnain, 14, Sania Samara, 13, dan Qaqa At-Tameemi, 9. Nabila merupakan anak dengan isteri pertama Amy, Faridah Fadzil.











