BUTTERWORTH – Kerajaan hari ini mengumumkan pemberian bantuan Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM400 kepada guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), imam, bilal dan siak di seluruh negara.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sumbangan berkenaan telah diluluskan hari ini dan akan diberikan secepat mungkin.
“Atas arahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, saya hari ini telah meluluskan pemberian sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada guru KAFA, imam, bilal dan tok siak. Kita bagi RM400 sama seperti yang diterima penjawat awam di peringkat Persekutuan.
“Ini yang saya baru luluskan dan saya tandatangan hari ini. Saya akan keluarkan satu kenyataan rasmi esok,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Masjid Jamek Kubang Buaya di sini hari ini.
Ditanya mengenai jumlah peruntukan bantuan itu, Guan Eng memberitahu, pihaknya akan memberi maklumat terperinci berhubung pengumuman tersebut dalam kenyataan rasmi yang akan dikeluarkan esok. – Bernama











