Penduduk Kelantan minta cadangan naik taraf Jalan Gua Musang-Kuala Krai diteruskan - Utusan Malaysia

Penduduk Kelantan minta cadangan naik taraf Jalan Gua Musang-Kuala Krai diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta supaya meneruskan cadangan kerajaan terdahulu untuk menaik taraf Jalan Gua Musang – Kuala Krai bagi mengatasi masalah kesesakan setiap kali musim perayaan.

Saban tahun, ratusan ribu perantau yang berada di luar Kelantan akan pulang melalui jalan itu untuk menyambut perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri di kampung.

Seorang perantau tinggal di Kuala Lumpur, Mohd. Adam Abdullah, 32, berkata, jalan sedia ada tidak mampu menampung kenderaan yang bertambah setiap tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, setiap kali perayaan akan berlaku kesesakan sehingga mengambil masa lebih 12 jam untuk sampai ke kampung berbanding hari biasa yang hanya enam jam.

“Kami selaku anak Kelantan berharap kerajaan pusat baharu dapat meneruskan projek naik taraf jalan ini. 

“Saya rasa tidak ada masalah bagi kerajaan PH meneruskan cadangan menaikan taraf jalan itu demi kemudahan untuk rakyat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Aidilfitri di Rehat dan Rawat (R&R) Rantau Manis di sini hari ini.

Kempen keselamatan Jalan Raya anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Kelantan (MKJR) itu dirasmikankan Ketua Jajahan Gua Musang, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusoff.

Pada majlis itu, sebanyak 150 risalah keselamatan jalan raya bersama kuih raya diagihkan kepada pengguna jalan itu yang mula pulang kampung untuk menyambut Aidilfitri.

Nur Aini Ghazali, 40, pula berkata, laluan Jalan Gua Musang-Kuala Krai itu merupakan perhubungan penting pengguna bukan sahaja pada musim perayaan tetapi juga hari-hari biasa.

Katanya, kerajaan PH perlu menaikan taraf jalan itu kepada empat lorong seperti yang dicadangkan kerajaan dahulu untuk keselesaan pengguna.

“Kita berharap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dapat mempertimbangkan perkara itu demi keselesaan dan keselamatan pengguna,” katanya. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini