KUALA LUMPUR 12 Jun – Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) tidak pernah mengamalkan monopoli beras di negara ini, sebaliknya menunaikan tanggungjawab sosial.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismail Mohamed Yusoff berkata, ini kerana pihaknya hanya memiliki 28 kilang beras daripada 180 buah kilang beras di seluruh negara.
Malah, katanya, kebanyakan kilang beras di negara ini adalah hak milik persendirian.
“Kami akan bekerjasama dengan kerajaan bagi memberi hanya yang terbaik untuk negara .
“Beras di negara ini juga adalah termurah iaitu 26 sen semangkuk dan 60 peratus pengeluaran beras di negara ini adalah merupakan pengeluaran tempatan. Jika harga beras itu hendak diturunkan lagi, ia perlu mengambil kira pendapatan terendah pesawah dan setiap hasil yang dikeluarkan pesawah adalah dijamin beli oleh Bernas,” katanya kepada pemberita di Menara Ilham di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











