KUCHING – Empat parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak mengumumkan keluar daripada perikatan gabungan BN Pusat dengan membentuk gabungan baharu dinamakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkuat kuasa hari ini.
Pengerusi BN Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan empat parti tersebut iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) meninggalkan perikatan BN diambil selepas mengambil kira situasi politik semasa.
Menurutnya, keputusan pembubaran BN Sarawak selepas 44 tahun bersama BN Pusat adalah demi kepentingan rakyat Sarawak secara keseluruhannya.
“Kita akan kekal sebagai kerajaan pembangkang, namun mesra kepada kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Pada masa sama, kita merakamkan penghargaan kepada BN yang selama ini banyak membawa kemajuan serta pembangunan di Sarawak,” katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi BN Sarawak di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Abang Johari memberitahu, pihaknya akan memaklumkan penubuhan GPS kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan berhubung perkara tersebut.
“Selain itu, kita akan memaklumkan kepada BN Pusat mengenai keputusan keluar daripada perikatan sejak 1974 lalu,” ujarnya.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, BN Sarawak memenangi 19 daripada 31 Parlimen yang dipertandingkan. -K! ONLINE











