Mukhriz yakin tidak ada pilihan raya negeri di Kedah - Utusan Malaysia

Mukhriz yakin tidak ada pilihan raya negeri di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN – Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yakin tidak akan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini susulan isu pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang masih belum selesai.

Ini kerana, menurut beliau, Pakatan Harapan (PH) sedang mengadakan perbincangan secara tidak rasmi dengan Pas dan Barisan Nasional (BN)  dalam usaha untuk menyelesaikan masalah pelantikan Speaker sebelum Persidangan DUN negeri bermula pada 4 Julai ini.

“Saya tidak nampak ada keperluan terdesak  untuk mengadakan PRN sebab proses (perbincangan) selesaikan masalah (pelantikan) Speaker dengan pembangkang masih berjalan,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Baucar Daging Raya 2018 di Taman Arowana, Ayer Hitam di sini sebentar tadi.

Kosmo! Ahad 10 Jun lalu melaporkan Pas yakin menawan Kedah jika PRN benar-benar diadakan, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, Pakatan Harapan (PH) memenangi 18 kerusi DUN, Pas 15 dan BN tiga. 

Mukhriz yang juga Pengerusi PH Kedah berkata, antara perkara yang dibincangkan itu adalah mengiktiraf peranan ketua pembangkang DUN dengan menawarkan kemudahan seperti pejabat dan kenderaan rasmi.

“Selain itu, kerajaan negeri juga bersetuju memberi peruntukan pembangunan kepada setiap Ahli DUN pembangkang.

“Saya ingat kita tidak perlu berkeras dan pendekatan memujuk untuk sama-sama (parti pembangkang) bangunkan Kedah.

“Dalam era Malaysia baharu, hubungan kerajaan dengan pembangkang tidak seperti dulu dan sekarang kita iktiraf tugas dan tanggungjawab pembangkang,” katanya.

Selain itu, Mukhriz memberitahu, beliau dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya negeri jumlah pembelanjaan untuk mengadakan PRN dianggarkan RM18 juta.

“Satu kos yang tak perlu dibelanja sekiranya kita dapat elak berlaku PRN,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini