SELAYANG – Sepasang suami isteri masing-masing didenda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan mencederakan anak lelakinya berusia sembilan tahun dengan menggunakan penyangkut baju pada Januari lalu.
Hakim Syafeera Mohd. Said menjatuhkan hukuman itu ke atas pasangan suami isteri tersebut iaitu Mohamad Syazreen Zulkeple, 26, dan Nurul Izwana Ibrahim, 29, selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara selama tiga bulan sekiranya tidak membayar denda itu dan mereka membayarnya.
Mengikut pertuduhan Mohamad Syazreen yang bekerja sebagai pencuci kereta dan Nurul Izwana yang merupakan suri rumah didakwa mencederakan anak lelaki mereka di sebuah premis di Kampung Sahabat, Gombak di sini pada pukul 1.51 petang 27 Januari lalu.











