KUALA TERENGGANU – Operasi khas yang dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Ops Sisih sejak awal bulan ini berjaya membongkar tabiat segelintir pemandu bas ekspres yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengambilan dadah.
Menerusi pemeriksaan ke atas pemandu-pemandu bas ekspres yang beroperasi di negeri ini, dua daripada mereka telah dikesan positif dadah.
Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap kedua-dua pemandu bas ekspres berusia 34 dan 35 tahun tersebut mendapati mereka positif dadah jenis syabu.
“Mereka merupakan antara 270 pemandu bas ekspres yang diperiksa JPJ Terengganu setakat ini sempena musim perayaan.
“Sebaik disahkan positif dadah, kedua-dua pemandu itu kemudian tidak dibenarkan untuk meneruskan tugasan mereka berkuat kuasa serta-merta,” katanya pada sidang akhbar Ops Sisih di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini semalam.











