PUTRAJAYA 12 Jun – Bagaikan selepas dibom. Itulah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan keadaan jalan yang rosak teruk di susur keluar Lingkaran Putrajaya menuju Jalan Puchong-Putrajaya di sini.
Permukaan jalan berpasir, berlubang dan merekah bagaikan selepas perang dunia kedua itu tidak ubah seperti perangkap maut yang hanya menunggu mangsa terutama kepada penunggang motosikal.
Utusan Malaysia difahamkan, kerosakan jalan di kawasan itu berlaku sejak awal tahun ini.
Walaupun jalan tersebut merupakan laluan utama pengguna dari arah Kuala Lumpur mahupun Putrajaya, ia seolah-olah dipandang sepi pihak berwajib.
Berdasarkan pemerhatian, kerosakan sama turut sama berlaku di susur masuk dari Jalan Puchong-Putrajaya ke Lingkaran Putrajaya.
Keadaan ini mengundang kegelisahan dan kebimbangan pengguna sekiranya berlaku kejadian malang tidak diingini terutama pada sebelah malam.
Utusan Malaysia turut difahamkan, susur masuk dan keluar berbentuk selekoh sepanjang kira-kira 100 meter itu telah diturap kontraktor beberapa bulan lalu namun kembali rosak.
Lebih menimbulkan rasa terkilan tahap kerosakannya lebih teruk berbanding sebelum itu.
Berdasarkan pemerhatian pemandu terpaksa memperlahankan kenderaan mereka setiap kali melalui jalan di kawasan itu bagi mengelak lubang di sana-sini.
Sehubungan itu, pihak berwajib digesa segera melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di situ bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna.











