KUALA LUMPUR 9 Jun – Institusi raja-raja Melayu di negara ini perlu dipertahankan dan tidak boleh diganggu-gugat oleh mana-mana pihak berikutan institusi berkenaan sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, institusi diraja juga tidak boleh dicabar dan disentuh oleh mana-mana pihak seperti mana yang tertera dalam Perkara 181-183 di dalam Perlembagaan tersebut.
Malah katanya yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja, Kepimpinan dan Komuniti, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), kuasa raja-raja Melayu adalah tertinggi dan menyeluruh merangkumi kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman.
“Ramai yang lupa bahawa kuasa yang membenarkan kewarganegaraan kepada rakyat bukan Melayu juga adalah terletak di tangan raja-raja Melayu pada tahun 1951. Setakat ini, banyak fahaman salah dan liberal sehingga ada usaha-usaha untuk mengganggu institusi diraja.
“Kedudukan raja-raja Melayu disanjung tinggi sejak beratus-ratus tahun dahulu. Malah, pedagang-pedagang asing yang berlabuh di negara ini turut memohon menghadap raja-raja Melayu bagi perkenan. Ini bermaksud raja-raja Melayu itu bukan hanya satu simbol, sebaliknya lebih kepada pemerintah, manakala kerajaan diperintah untuk mentadbir,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dukacita dengan tindakan pihak tertentu sejak kebelakangan ini yang secara terbuka menghina dan memperlekehkan institusi raja bagi menghasut serta mempengaruhi rakyat agar membenci raja-raja Melayu.
Lebih mendukacitakan, Sultan Sharafuddin bertitah, hasutan bagi membenci raja-raja Melayu itu dilakukan oleh segelintir orang Melayu.
Sementara itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong pula berkata, beliau yang juga bukan Melayu turut berasa terkejut kerana terdapat segelintir orang Melayu yang cuba mempersoalkan kesesuaian institusi raja-raja Melayu pada waktu ini.
Malah katanya, ramai yang terlupa bahawa raja-raja Melayu adalah ketua di sesebuah negeri, ketua negara, ketua agama dan budaya.
“Raja-raja Melayu itu merupakan lambang jati diri orang Melayu. Institusi raja-raja Melayu perlu dipertahankan oleh orang Melayu. Selain bahasa dan budaya Melayu, jati diri orang Melayu itu terletak pada institusi raja-raja Melayu.
“Mereka yang tidak senang dengan institusi raja-raja Melayu boleh dianggap penderhaka,” ujarnya.
Kok Seong menambah, peranan institusi raja-raja Melayu pada waktu ini juga telah pun berubah seiring dengan peredaran zaman, namun kedudukannya tetap sama.
Sebagai contoh jelasnya, titah-titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang bijaksana dan ilmiah dalam pelbagai bidang terutamanya ekonomi menjadi cerminan pada keagungan institusi raja-raja Melayu pada waktu ini.











