Kerajaan kaji semula TPP - Utusan Malaysia

Kerajaan kaji semula TPP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Jun – Kerajaan mahu mengkaji semula perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) kerana berpandangan tidak memberi kelebihan kepada negara ekonomi kecil seperti Malaysia.

Perkara itu disuarakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa beberapa syarat dalam perjanjian itu telah dimasukkan oleh Amerika Syarikat (AS) sebelum negara itu menarik diri daripada rangka kerja berkenaan.

Meskipun beliau tidak menolak signifikan perjanjian seperti TPP, namun Dr. Mahathir memberitahu, Malaysia hanya mampu menjual sedikit sahaja tetapi membeli lebih banyak dalam suasana perdagangan bebas itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dr. Mahathir bagaimanapun tidak memaklumkan sama ada beliau mahu mempertimbangkan untuk keluar daripada pakatan yang terdiri daripada 11 negara.

“Negara yang kecil dan lemah ekonomi perlu diberikan peluang untuk melindungi produk-produk mereka.

“Sehubungan itu, kami perlu mengkaji semula (TPP). Penting untuk mempertimbangkan tahap pembangunan sesebuah negara,” katanya dalam temubual dengan Nikkei Asian Review semalam.

Selain Malaysia, 10 lagi negara yang mengambil bahagian dalam perjanjian TPP ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Keputusan Malaysia untuk mengkaji semula TPP itu sudah tentunya memberi tamparan kepada negara-negara lain yang terlibat.

Pada 11 November tahun lalu, 11 pemimpin negara, termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan Perdana Menteri ketika itu mencapai persetujuan meneruskan TPP dengan nama baharu Perjanjian Komprehensif dan Progresif TPP (CPTPP) selepas AS membuat keputusan keluar daripada pakatan itu.

Agensi penarafan antarabangsa, Moody Investors Service sebelum ini menyifatkan Malaysia sebagai ‘pemenang terbesar’ dalam CPTPP kerana perjanjian itu menyediakan akses eksport ke pasaran baharu termasuk Kanada, Peru dan Mexico.

Agensi itu memberitahu, akses ke pasaran baharu berkenaan akan memberi pelbagai manfaat kepada negara terutama buat pengeksport minyak sawit, getah dan elektronik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini