MPO jelajah Sabah dan Sarawak - Utusan Malaysia

MPO jelajah Sabah dan Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Jun – Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) akan mengadakan siri konsert jelajah ke Sabah dan Sarawak bulan ini bagi meraikan ulang tahun ke-20 orkestra tersebut.

Konsert di Kuching akan berlangsung pada 27 Jun ini, pukul 8 malam di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petrajaya.

Sementara itu, konsert di Kota Kinabalu akan diadakan di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, pada pukul 8 malam, 30 Jun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Konsert yang bakal dipimpin oleh Konduktor Residen MPO Naohisa Furusawa itu akan menampilkan kehebatan dan keasyikan muzik klasikal seperti sedutan dari Carmen and L’Arlésienne Suites ciptaan Bizet dan Overture from Russlan and Ludmilla (ciptaan Glinka).

Tidak dilupakan ialah karya-karya tempatan seperti Cindai, Getaran Jiwa dan Mercu Kegemilangan, yang dicipta khas untuk MPO sempena ulang tahunnya yang ke-20 tahun.

Acara kemuncak konsert ini ialah Piano Concerto No.1 ciptaan Tchaikovsky yang bakal menyaksikan MPO berkolaborasi dengan pemain piano muda, Tengku Ahmad Irfan Tengku Ahmad Shahrizal yang cukup dikenali dalam kalangan peminat-peminat tegar muzik klasikal.

Sementara itu, MPO turut akan melakukan program komuniti di Hospital Umum Sarawak pada 26 Jun ini. Malah pemuzik-pemuzik MPO juga akan menghiburkan pesakit-pesakit di Hospital Likas dan penghuni Sabah Cheshire Home di Kota Kinabalu pada 29 Jun ini.

Bagi yang ingin menonton konsert, tiket-tiket berharga RM60, RM110 dan RM160, boleh didapati di Century Music School (082-233901/016-8858822) dan Wah Lee Hong Music (082-451551) untuk konsert di Kuching.

Untuk konsert di Kota Kinabalu, tiket-tiket boleh dibeli di Music Mart – The Rock School (088-232629/088-262929), Sri Pelancongan Sabah (088-232121) dan Wah Lee Hong Music, Sabah (088-448188). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini