KUALA LUMPUR 8 Jun – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia menasihatkan orang awam supaya berhati-hati sekiranya terserempak dengan hidupan liar dalam perjalanan pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Dr. Abdul Kadir Abu Hashim berkata, aliran trafik pada musim perayaan dijangka meningkat di semua laluan dan lebuh raya malah sejak kebelakangan ini banyak kes kemalangan jalan raya berlaku melibatkan orang awam dengan hidupan liar.
“Pengguna jalan diingatkan supaya berhati-hati jika terserempak dengan hidupan liar, mereka juga dinasihati supaya memperlahankan kenderaan dan mematuhi had laju serta papan tanda amaran yang telah diletakkan di beberapa kawasan hotspot lintasan hidupan liar.
“Selain daripada itu, pemandu kenderaan dinasihatkan untuk tidak melakukan tindakan provokasi seperti menyembunyikan hon, memasang lampu tinggi kerana berisiko menyebabkan hidupan liar seperti gajah yang boleh menyerang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, tambahnya, berdasarkan rekod, sebanyak 2,444 ekor pelbagai spesies hidupan liar mati dilanggar di jalan-jalan Persekutuan, jalan negeri dan lebuh raya sejak tahun 2012 hingga 2017.
“Antara punca kejadian adalah disebabkan hutan yang menjadi habitat hidupan liar terpisah oleh lebuh raya dan jalan raya selain kebanyakan haiwan liar yang aktif pada waktu malam dan sukar dilihat pemandu.
“Keadaan jalan yang gelap dan berkabus yang menjadikan jarak penglihatan pemandu yang terhad serta pagar lebuh raya yang tidak diselenggara atau dipotong orang awam juga menjadi faktor menyebabkan hidupan liar memasuki kawasan lebuh raya. – UTUSAN ONLINE











