KUALA LUMPUR 8 Jun- Sebagai tindak balas kepada isu-isu yang telah disiarkan di pelbagai media baru-baru ini, CTOS Data Systems Sdn. Bhd. (CTOS) mengemukakan beberapa fakta berkaitannya yang perlu diketahui umum.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan CTOS, pertamanya adalah CTOS (dan semua agensi pelaporan kredit) membolehkan syarikat memberikan kredit dan pinjaman individu.
“Peranan CTOS sebagai agensi pelaporan kredit hanya untuk mengekalkan rekod maklumat sejarah tentang pengalaman kredit seseorang.
“Maklumat sejarah ini hanya disimpan sehingga maksimum 24 bulan, tetapi jika ada kes yang belum selesai, ia masih akan ditunjukkan dalam laporan. Dengan menggunakan maklumat itu, syarikat boleh memutuskan langkah dan syarat-syarat untuk tawaran kredit individu, CTOS tidak memutuskan hal tersebut untuk syarikat itu,” kata kenyataan itu.
Kedua, CTOS tidak boleh memberikan maklumat mengenai individu kecuali orang itu membenarkannya secara khusus.
“CTOS mengambil perlindungan data dengan sangat serius dan dikawal oleh Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010 yang menyatakan dengan tepat persetujuan peribadi diperlukan sebelum mana-mana CRA boleh melepaskan laporan kepada pihak ketiga,” jelas kenyataan itu.
Ketiga, tambah kenyataan itu, CTOS tidak akan menyenaraihitamkan sesiapa pun kerana ia bukanlah peranan CTOS untuk memutuskan sama ada pembayaran lambat, tertangguh, atau bayaran terjejas hendaklah dimasukkan ke dalam laporan seseorang itu.
Peranan CTOS adalah untuk memberikan gambaran yang menyeluruh mengenai sejarah pembayaran individu, supaya pemberi pinjaman prospektif dan penyedia perkhidmatan dapat membuat keputusan mereka sendiri sama ada mereka harus menawarkan pinjaman servis individu.
Adalah menjadi tanggungjawab pengguna untuk mengemukakan sebarang kesilapan atau penyalahgunaan maklumat kredit kepada pendaftar untuk semakan dan kemaskini kredit individu dan melaporkan secara berkala di agensi laporan kredit seperti CTOS. – UTUSAN ONLINE











