KEMAMAN – Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menanggung kesakitan apabila mukanya melecur akibat disambar api daripada belerang mercun bola di Kampung Baru Kemasik di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, muka Putera Hfiy Shah Mohd. Alif Shah Aminruddin, 7, dikatakan terkena percikan api belerang yang dibakar oleh seorang rakannya.
Menurut sumber, insiden itu dipercayai berlaku apabila seorang rakan mangsa bertindak mengumpul belerang daripada beberapa biji mercun bola.
“Rakan mangsa kemudiannya mencucuh api pada belerang itu dan menyebabkan percikan yang menyala terkena pada muka murid tahun satu terbabit yang ketika itu berada berhampiran.
“Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Kemaman disahkan mengalami lecur kulit tahap dua pada bahagian muka,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Difahamkan, kanak-kanak tersebut telah dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang bagi menerima rawatan lanjut. – K! ONLINE











