SHAH ALAM 8 Jun – Sebanyak 350 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik di Selangor dalam tempoh 3 jam selepas Op Selamat sempena Hari Raya Adiilfitri dilancarkan serentak di seluruh negara bermula pukul 9 pagi ini.
Perkara itu dinyatakan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintenden Azman Shari’at yang mana sebilangan besar saman yang dikeluarkan itu adalah membabitkan kesalahan melanggar lampu isyarat serta tidak memiliki lesen memandu.
Ketika ditemui di lokasi sekatan jalan raya di Seksyen 26, di sini, beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi kepada mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang serta peraturan jalan raya terutamanya membabitkan enam kesalahan yang yang diberikan tumpuan utama.
“Dalam Op Selamat di Selangor ini, kita akan gunakan konsep ‘total enforcement’ atau penguatkuasaan penuh terhadap kesemua undang-undang dan peraturan jalan raya yang sedia ada.
“Kita beri tumpuan penuh terhadap kesalahan membabitkan had laju, menggunakan laluan kecemasan, memotong garisan berkembar, memotong barisan trafik, melanggar lampu isyarat dan menggunakan peralatan telekomunikasi ketika mengendalikan kenderaan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Hadir sama dalam sidang akhbar itu ialah Timbalan Ketua Jabatan Operasi Pencegahan Jenayah dan Komuniti Selangor, Asisten Komisioner Razimi Ahmad. – UTUSAN ONLINE











