KUALA LUMPUR 8 April – Anak-anak kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Lekiu, yang terlibat dalam usaha mencari pesawat MH370, terus bersemangat tinggi untuk melaksanakan tugasan mencabar di Lautan Hindi.
Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, semangat semua anggota masih tinggi walaupun melalui tugasan yang mencabar mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) itu berhampiran perairan Perth, Australia,
“Semalam, menteri (Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) telah menghubungi mereka bertanyakan khabar dan ini memberikan mereka lebih semangat untuk melaksanakan amanah yang diberikan,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Australia dan Tentera Laut Diraja Australia kerana bantuan yang diberikan keada semua anggota TLDM di sana.
“Malah, pemindahan bekalan minyak dari HMAS Success ke KD Lekiu yang dijalankan di Lautan Hindi juga menunjukkan kerjasama erat yang diberikan kerajaan Australia.
“Ia merupakan satu sejarah kepada Malaysia dan TLDM,” katanya selepas majlis pemakaian pangkat dan serah tugas Asisten Ketua Staf Penadbiran Markas Tentera Laut TLDM di KD Sri Gombak antara Laksamana Pertama Datuk Wah Yuen Mei dan Laksamana Pertama Azhari Abdul Aziz di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE









