SUDAH dua tahun tanah gambut di Desa Tanjung Putri, Kecamatan Arut Selatan, Kabupaten Kotawaringin Barat, Kalimantan Tengah, Indonesia dan desa-desa sekitarnya tidak diusahakan.
Keadaan itu berlaku selepas Peraturan Pemerintah Nombor 57 Tahun 2016 mengenai Perlindungan dan Pengurusan Ekosistem Gambut dikeluarkan untuk mencegah kebakaran hutan serta tanah terbuka di seluruh Indonesia.
Larangan itu telah menyebabkan golongan petani tidak lagi menanam padi atau tanaman lain kerana mereka tidak tahu kaedah lain selain pembakaran.
Tindakan itu sekali gus menyebabkan pengeluaran beras di desa-desa di Kotawaringin Barat, bahkan Kalimantan Tengah menurun secara mendadak.
Menurut Dinas Pertanian Kotawaringin Barat di Desa Tanjung, Putri Purwadi, sejak tahun 2010 pengeluaran beras meningkat di kawasan itu sehingga melebihi permintaan terutama selepas campur tangan pihaknya pada tahun 2012 yang membantu mengoptimumkan tanah rawa dengan tanaman padi.
Kata Ketua Kumpulan Tani Sumber Rezeki Desa Tanjung Putri, Kecamatan Arut Selatan, Kotawaringin Barat, Ruslan Surbakti boleh membeli rumah hasil daripada penjualan padi.
Bagaimanapun, Dasar Pembukaan Tanah Tanpa Bakar (PLTB) pada tahun 2016 telah memberikan kesan kepada petani.
Ahli kumpulan Tani Sejati, Muhammad Thamrin, 63, yang berasal dari Desa Terantang, Kelurahan Mendawai berkata, dia terpaksa beralih daripada seorang petani menjadi nelayan.
“Pendapatan sebagai nelayan sangat sedikit iaitu sekitar Rp20,000 (RM5.71) sehari. Pendapatan ini tidak mencukupi untuk menampung kehidupan seharian saya.
“Malah ada ketikanya, saya tiada pendapatan langsung terutamanya pada musim tengkujuh,” ujarnya. Sudah pasti situasi itu bukan hanya dialami oleh Muhammad Thamrin kerana terdapat ramai petani lain yang berada di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, larangan itu dilihat sebagai peluang untuk menyelesaikan masalah pencemaran asap atau jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah terbuka.
Sumber ekonomi
Masalah ini berlaku sejak berpuluh-puluh tahun sehingga Indonesia tidak terlepas daripada menjadi negara penyumbang kepada pengeluaran gas rumah hijau tertinggi di dunia.
Pada masa sama, terdapat keperluan untuk mencari jalan bagi mencipta sumber ekonomi baharu kepada penduduk di kawasan tersebut agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup.
Sementara itu, menurut Ruslan, 36, tanah yang baru 15 hari disembur dengan penguraian pengasingan mikro yang dikenali sebagai Beka masih belum boleh ditanam dengan anak padi sebaliknya perlu menunggu sehingga lima atau enam hari lagi.
Katanya, tempoh diperlukan sehingga 21 hari untuk mempersiapkan kawasan tanah gambut bagi penanaman padi dengan menggunakan penguraian mikro.
Dengan penggunaan penguraian mikro, para petani boleh menanam tanaman padi di tanah tersebut sebanyak dua kali setahun berbanding kaedah pembakaran yang kebiasaannya sekali sahaja.
Menurutnya, hasil yang diperoleh bagi tuaian pertama sebanyak 1.2 tan beras sehektar dan jumlah tersebut sama jika menggunakan teknik pembakaran tanah.
“Cara ini memang lebih lama dan mahal tetapi ia tidak akan menyebabkan kita sesak nafas akibat jerebu. Udara segar, tidak ada asap lagi,” katanya.
Gas rumah hijau
Ruslan menambah, kos bagi penggunaan kaedah tersebut sekitar Rp7.5 juta (RM2,140) sehektar bagi menyiapkan tanah gambut untuk tuaian pertama dan selepas itu kos berkurangan kira-kira Rp3.5 juta (RM999) sehektar. Katanya, kos tersebut tidak boleh dikurangkan lagi kerana ia sudah mencapai harga paling murah untuk menanam padi di kawasan tanah gambut dengan cara penguraian mikro. Setakat ini, tiada halangan besar dalam menjalankan amalan PLTB kerana ia hanya memerlukan pengaliran air yang baik.
Larangan untuk membakar dalam sektor pertanian sudah dijalankan di beberapa buah daerah kerana penggunaan penguraian Beka turut digunakan di Desa Pantik dan Desa Sebangau Jaya, Kecamatan Pulang Pisau, Kalimantan Tengah.
Penuaian padi di tanah gambut di dua kampung boleh mencecah sehingga empat atau lima tan sehektar. Bagaimanapun, setakat ini ia masih terhad untuk projek perintis berskala kecil.
Bahkan, belum ada lagi program nasional sama ada daripada Kementerian Pertanian mahupun Dinas Pertanian setempat di Indonesia yang bersama-sama untuk melaksanakan PLTB walaupun dasar tersebut dibuat sejak tahun 2016.
Penolong Hal Ehwal dan Pengembangan Kabupaten Kotawaringin Barat, Encep Hidayat berkata, sudah ramai petani hilang mata pencarian mereka selepas larangan membakar tanah di seluruh Indonesia dikeluarkan terutamanya selepas kebakaran hutan terbesar pada tahun 2015.
Oleh demikian, pihaknya akan mengkaji keberkesanan pelaksanaan program yang dijalankan oleh Yayasan Orang Utan Indonesia dengan menggunakan kaedah Beka.
Indonesia menyasarkan penurunan gas rumah hijau sebanyak 26 peratus dengan cara sukarela menjelang tahun 2020 atau 29 hingga 41 peratus dengan bantuan pihak lain pada 2030.
Perjanjian Paris tidak hanya terbatas kepada kehidupan, perhutanan atau tenaga tetapi turut melibatkan sektor pertanian.











