Belgium semakin garang - Utusan Malaysia

Belgium semakin garang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS 7 Jun – Belgium membuat Mesir tersentak dalam persediaan mereka menghadapi Piala Dunia 2018 apabila menang 3-0 dalam perlawanan persahabatan walaupun tanpa khidmat pemain pertahanan utama Vincent Kompany.

Walaupun tanpa ketua pasukan mereka itu, Belgium mengekalkan formasi tiga pemain di bahagian pertahanan dan bakal pesaing utama England di peringkat kumpulan itu jelas amat berbisa di bahagian serangan berbanding ketika seri menentang Portugal pada Sabtu lalu.

Romelu Lukaku, yang menjadi pilihan utama di bahagian serangan dalam kesebelasan utama berbanding Michy Batshuayi, meletakkan pasukannya di depan menerusi percubaan jarak dekat pada minit ke-27 selepas penjaga gol Mesir berusia 45 tahun, Essam El-Hadary menumbuk keluar percubaan Eden Hazard.

Memuatkan artikel berkaitan…

Belgium semakin selesa apabila pemain tengah Chelsea, Hazard yang menjadikan kedudukan 2-0 sebelas minit kemudian, dan Batshuayi yang menggantikan Lukaku mengumpan kepada Marouane Fellaini untuk menjaringkan gol ketiga pada masa kecederaan.

Keputusan perlawanan ini bermakna Mesir telah mengharungi enam perlawanan berturut-turut tanpa meraih kemenangan.

Jurulatih Belgium, Roberto Martinez memuji persembahan yang dipamerkan anak buahnya selain menganggap kesemua pemain sudah mempunyai keserasian sebagai satu pasukan dan berupaya mempamerkan corak serangan menakjubkan.

Untuk perlawanan itu, Martinez telah memberikan Laurent Ciman jersi nombor empat milik Kompany selain membenarkannya beraksi selama 90 minit. Ciman secara rasminya berada dalam senarai menunggu bagi menggantikan pemain Manchester City itu atau Thomas Vermaelen dari Barcelona yang masih cedera.

“Dia berada dalam posisi di mana dia perlu menunggu apa akan berlaku,” kata Martinez.

Tambah Martinez, dia masih memberi peluang kepada Kompany dan Vermaelen untuk bersama pasukan bagi membuktikan tahap kecergasan mereka.

Belgium akan melengkapkan jadual perlawanan persahabatan menentang Costa Rica di tempat sendiri Isnin ini dan Martinez kemudian akan menentukan skuad 23 pemain yang akan ke Rusia selepas itu.

Mesir yang beraksi tanpa penyerang mereka Mohamed Salah hanya mampu melakukan beberapa percubaan untuk mendapatkan gol menerusi Marwan Mohsen pada separuh masa kedua.

Mesir akan memulakan kempen Piala Dunia dengan menentang Uruguay pada Jumaat 
depan. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini