KUALA LUMPUR – Seramai 34,000 individu yang sedang aktif bekerja dengan perusahaan milik pasangan bakal menerima perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkuat kuasa 1 Julai ini.
Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, penguatkuasaan itu dibuat di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).
“Peruntukan sedia ada di dalam akta tidak melayakkan suami atau isteri pasangan pemilik perusahaan tersebut dilindungi di bawah skim-skim perlindungan Perkeso kerana tidak ditakrifkan sebagai seorang pekerja di bawah kedua-dua akta tersebut.
“Ia boleh dipinda melalui perintah yang diwartakan oleh menteri. Jadi menerusi pindaan ini, mereka yang bekerja dengan pasangan sebagai majikan juga mendapat perlindungan sama,” katanya pada sidang akhbar sempena majlis berbuka puasa Perkeso di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Perkeso, Tan Sri Aseh Che Mat dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed. – Bernama











