PUTRAJAYA 7 Jun – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) diminta melakukan pemantauan dalam setiap program bagi memastikan bantuan disampaikan benar-benar mengubah nasib masyarakat.
Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kita tidak boleh berpuashati dengan program yang bersifat adhoc (sementara) tetapi harus lebih menumpukan kepada aktiviti bersifat jangka panjang dan berterusan walaupun tidak popular.
“Insya Allah saya yakin YaPEIM telah melaksanakannya dengan sebaik sebagaimana yang kita lihat hari ini.
“Kepada anak-anak penerima sumbangan hari ini saya berharap anak-anak bersyukur dan menghargai setiap sumbangan yang disampaikan, kita doakan kemurahan rezeki kepada penyumbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Inspirasi Ramadan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) 2018 di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya (PPj), di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Pengarah Yapeim, Datuk Abibullah Samsudin, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Seri Hasim Ismail. – UTUSAN ONLINE











