KANGAR – Tindakan sebuah bot nelayan kelas C menceroboh zon tangkapan ikan dengan memukat di kawasan perairan kurang 12 batu nautika daripada pantai mengundang padah apabila ditahan bot peronda Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis malam semalam.
Bot jenis pukat tunda itu ditahan di kedudukan 2.7 batu nautika berhampiran Sungai Padang di sini oleh bot peronda APMM pada pukul 10.57 malam.
Ketua Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nurulazme Zakariah berkata, pemeriksaan lanjut menemui seorang tekong dan tiga awak-awak warga Thailand berusia 27 hingga 60 tahun di dalam bot nelayan tersebut.
“Bot itu telah didapati telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menangkap ikan dikawasan yang tidak dibenarkan.
“Mereka hanya dibenarkan menangkap ikan pada jarak kira-kira 15 batu nautika dari pantai seperti tertera di dalam lesen bot tersebut.
“Semua awak-awak dan bot tersebut dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – K! ONLINE











