Cuaca yang tidak menentu kini menjadi cabaran kepada umat Islam di Malaysia untuk berpuasa pada bulan Ramadan.
Walau bagaimanapun, cuaca panas terik di perairan tidak menjadi penghalang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk meneruskan Op Pasir bagi memperkasa keselamatan pantai timur Sabah dan menguatkuasakan keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).
Pegawai Memerintah Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah, Komander Mohd. Effendy Mohd. Shuib berkata, selain faktor cuaca, keadaan persekitaran laut yang bergelora juga menjadi salah satu cabaran kepada anggota TLDM yang bertugas semasa bulan Ramadan.
“Ini merupakan cabaran kepada pasukan kami tetapi kita mempunyai rutin rondaan yang sangat baik dan berkala tidak kira pada hari biasa atau pada bulan Ramadan.
“Ini membantu kita dalam memastikan kawasan persekitaran perairan berada pada tahap yang terbaik,” katanya kepada Mega Wira baru-baru ini.
Tambah Mohd. Effendy, ancaman yang dihadapi sepanjang operasi lebih kepada peperangan asimetrik atau lebih dikenali dgn nama ‘unbalanced warfare’.
“Migran, pendatang tanpa izin, penyeludupan dan rentas sempadan merupakan ancaman yang sentiasa kita hadapi.
“Setiap isu ini kita kendalikan dengan cara yang profesional yang mana kita turut dibantu oleh agensi penguatkuasaan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya.
Menurut Mohd. Effendy, bagi rutin Op Pasir, TLDM menjalankan operasi 24 jam, 7 hari seminggu yang mana kawasan tanggungjawab adalah meliputi kawasan perairan pantai timur Sabah.
“Jumlah anggota yang terlibat di kawasan operasi ini kekuatan 80 orang yang terdiri dari Pegawai dan anggota TLDM, Pasukan Khas Laut (Paskal), Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) 10 Briged Para, Kor Kesihatan Diraja Malaysia dan Kor Agama Angkatan Tentera.
“Aset yang terlibat di sini adalah Pesawat Fennec, Bot FIC, Bot Tempur CB 90 dan Bot Tempur Viper,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Effendy mewakili anggotanya turut mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang bertugas di perbatasan dan mendoakan keselamatan seluruh rakyat Malaysia yang pulang berhari raya di kampung halaman.











