England perlu ada keyakinan – Kane - Utusan Malaysia

England perlu ada keyakinan – Kane

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BURTON-ON-TRENT, UK – Harry Kane menggesa rakan sepasukannya agar menyingkirkan semua perkara negatif yang telah menyelubungi kempen England sebelum ini dan sebaliknya memberi tumpuan untuk menyerlah dalam Piala Dunia di Rusia.

Kane akan mengetuai pasukan muda England dengan hanya pemain pertahanan Chelsea, Gary Cahill yang mempunyai lebih 50 cap.

England tidak pernah menang kejohanan besar sejak Piala Dunia 1966 dan Kane berharap kurang pengalaman bermakna skuad yang dibimbing Gareth Southgate itu kurang mendapat tumpuan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkara paling utama adalah percaya keadaan boleh jadi berbeza.

“Keadaan memang sukar kerana sudah 50 tahun kita tidak memenangi apa-apa.

“Kami perlu kekal fokus terhadap diri sendiri dan tidak memikirkan mengenai pasukan masa lalu.

“Kami adalah pasukan yang tersendiri dengan identiti tersendiri. Kami perlu menikmati sua­sana perlawanan dan tidak sabar untuk ke sana dan mula bertarung,” katanya sewaktu hari terbuka untuk media hari ini.

Kane bukan sahaja akan memikul tanggungjawab selaku ketua pasukan, tetapi diharapkan untuk menjaringkan gol yang dapat membawa England mara lebih jauh ke dalam kejohanan itu setelah melalui musim terbaiknya bersama Tottenham Hotspur dengan menjaringkan 41 gol, meskipun mengalami kecederaan ligamen pergelangan kaki pada Mac lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu mengambil masa beberapa minggu untuk mendapatkan semula prestasi terbaiknya selepas berehat selama tiga minggu.

Namun, selepas menamatkan musim bersama kelabnya dengan lima gol dalam enam perlawanan, Kane turut menjaringkan gol antarabangsanya yang ke-13 ketika England menumpaskan Nigeria 2-1 di Wembley pada Sabtu lalu.

“Saya berasa cukup cergas dan latihan telah dilaksanakan dengan intensiti tinggi.

“Sesi latihan yang sungguh sukar tetapi itulah yang kami perlukan,” tambahnya.

Kane telah diletakkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai antara pemain paling berat dalam kejohanan apabila semua senarai 32 pasukan peserta dikeluarkan semalam.

Namun Kane bertegas bahawa dia enam kilogram lebih ringan daripada berat 96kg yang berada dalam senarai FIFA.

“Saya tidak tahu sama ada sudah ditukar tetapi berat saya bukanlah 96kg.

“Normalnya pada tahap 89 atau 90kg. Kami timbang hampir setiap hari apabila bangun tidur dan berat itu adalah berat normal saya,” jelasnya.

Setakat ini berita negatif yang menyelubungi persediaan England adalah kritikan terhadap Raheem Sterling yang mempunyai cacah senjata api di kakinya.

Sterling berkata cacah yang masih belum diselesaikan itu adalah merujuk kepada kejadian bapanya ditembak mati di Jamaica dengan pemain sayap Manchester City itu masih berusia dua tahun ketika itu.

Walau bagaimanapun, Sterling menegaskan bahawa dia tidak terganggu dengan berita yang menyelubungi dirinya pada minggu lalu itu.

“Bukanlah teruk sangat. Saya meneruskan seperti hari biasa. Saya bercakap dengan emak saya dan dia baik-baik sahaja. Anak perempuan dan anak lelaki saya juga baik-baik sahaja.

“Saya tidak bimbang sangat mengenai hal itu. Keadaan selalunya nampak teruk apabila anda mendapat tumpuan kerana perkara negatif, tetapi keadaan ini bukanlah sesuatu yang mengganggu saya,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini