KUALA LUMPUR 7 Jun – Persetujuan Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) seakan menjadi pemangkin semangat buat skuad Gergasi Merah apabila menewaskan PKNS FC 2-1 dalam saingan Liga Super, malam tadi.
Perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur itu menyaksikan Selangor terlebih dahulu berada di depan setelah penyerangnya, Rufino Segovia meledak gol seawal minit ketujuh.
Begitupun, penyerang veteran PKNS, Safee Sali sempat menyamakan kedudukan ketika saingan berbaki dua minit sebelum waktu rehat.
Selangor mengesahkan tiga mata penuh dan kemenangan kedua berturut-turut selepas membelasah Kelantan, Jumaat lalu apabila Evan Dimas menyumbat gol kemenangan pada minit ke-60.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan wajar berterima kasih kepada N. Thanabalan apabila pemain yang dimasukkan dalam babak kedua itu menanduk masuk pada penghujung perlawanan untuk mengikat Perak 1-1.
Terdahulu, Leandro Dos Santos terdahulu meletakkan skuad Bos Gaurus di depan pada minit ke-71.- UTUSAN ONLINE











