PUTRAJAYA – Peguam Negara yang baharu, Tommy Thomas menegaskan beliau tidak akan mengamalkan pendakwaan secara terpilih sepanjang mengendalikan tugasnya itu.
Tegas beliau, sesiapa saja yang melanggar undang-undang akan menerima hukuman.
“Saya berjanji akan melakukan tindakan yang betul, adil dan saksama,” katanya kepada pemberita di lobi pejabat Jabatan Peguam Negara di sini semalam.
Tommy berkata, beliau menggariskan tiga fokus utama dalam perkhidmatannya termasuk siasatan berhubung skandal 1Malaysia Development (1MDB).
“Saya perlu mengkaji kertas siasatan skandal berkenaan terlebih dahulu. Kita akan melaksanakan prosiding jenayah dan sivil di mahkamah terhadap mereka yang didakwa melakukan kesalahan.
“Semuanya sama rata di sisi undang-undang dan tidak ada sesiapa yang akan tertinggal dan dilindungi,” katanya.











