KUALA LUMPUR – Badan Perhubungan UMNO Pahang mengumumkan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Yaakob sebagai calon merebut jawatan naib presiden pada pemilihan parti itu pada 30 Jun ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, mereka juga mencalonkan penyandang Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO lantikan presiden, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin untuk bertanding bagi jawatan Ahli MT.
Adnan yang merupakan bekas menteri besar turut mengumumkan bahawa Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamed dan Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib akan bertanding bagi jawatan Ahli MT.
“Calon-calon yang bertanding ini adalah untuk membantu parti dalam keadaan parti sekarang ini sebagai pembangkang di peringkat persekutuan. Masing-masing ada hasrat yang suci untuk membantu parti kerana mereka tahu kalau mereka menang pun bukan dapat jadi menteri,” katanya pada Majlis Pengumuman Calon Pemilihan UMNO di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. – Bernama











