IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia semalam dipercayai mengalami gejala keracunan makanan selepas membeli hidangan makanan di gerai tepi jalan Simpang Gelung Pepuyu dan bazar Ramadan di Titi Gantung dekat Seri Manjung pada Jumaat lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan Perak, Dr. Ding Lay Ming berkata, mangsa yang berusia 11 tahun merupakan salah seorang daripada tujuh ahli keluarganya yang berasal dari Kampung Changkat Chermin dekat Ayer Tawar yang mengalami gejala tersebut.
Jelasnya, keracunan itu mengakibatkan kesemua mangsa sakit perut, cirit-birit, dehidrasi, keletihan dan demam manakala seorang daripada mereka mengalami sawan bermula pukul 1 hingga 5 pagi pada Jumaat lalu.
“Kanak-kanak itu meninggal dunia akibat komplikasi sewaktu sedang dirawat di Hospital Seri Manjung semalam.
“Empat ahli keluarga mangsa telah dimasukkan ke wad di hospital sama untuk rawatan lanjut pada Sabtu lalu. Mereka kini berada dalam keadaan stabil dan semakin beransur pulih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Lay Ming, siasatan kesihatan di dua lokasi jualan makanan itu mendapati tiada peningkatan kejadian kes Acute Gastroenteritis dan keracunan makanan dikesan sejak 31 Mei lalu.
Jelasnya, kes berkenaan merupakan kejadian terpencil dan hanya melibatkan keluarga itu sahaja.
Tambahnya, punca kejadian masih dalam siasatan. – K! ONLINE











