KANGAR – Kontinjen Perlis menyasarkan 13 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 yang akan berlangsung di Perak pada September ini.
Pengarah Majlis Sukan Perlis, Syaiful Rizal Mohd. Sukri berkata, Perlis menghantar 350 atlet untuk menyertai 22 daripada 29 acara sukan yang dipertandingkan pada temasya itu.
“Kesemua atlet kita telah didaftarkan dan kini kita hanya menumpukan kepada persediaan dan latihan bagi menghadapi sukan berprestij itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata, tujuh acara yang tidak disertai Perlis iaitu kriket, renang, terjun, bola jaring, bola keranjang dan gimrama kerana atlet sedia ada masih belum mencapai standard dikehendaki.
Katanya, bagi menyuntik semangat para atlet, pihaknya menjanjikan insentif buat mereka yang berjaya, namun jumlahnya belum ditentukan.
Syaiful Rizal berkata, Perlis akan sentiasa memperbaiki kedudukan dengan meningkatkan pertambahan pingat setiap kali kejohanan berlangsung.
Katanya, dalam temasya sebelum ini, Perlis meraih sembilan pingat emas, tujuh perak dan 15 gangsa, sekali gus membuktikan negeri ini mampu bersaing serta mempunyai atlet yang berdaya saing.
“Perlis juga boleh dikatakan hebat kerana sebelum ini kita telah berjaya melahirkan atlet bertaraf dunia seperti Abdul Latif Romly (lompat jauh) dan Mohd. Amsyar Azman (terjun),” katanya.
Dalam pada itu, semasa pembentangan Bajet 2018 Perlis tahun lepas, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM6.3 juta bagi pembangunan sukan di negeri ini. – Bernama











