KANGAR – Pembentukan kerajaan negeri Perlis yang sempurna termasuk pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dijangka pada minggu depan.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man memberi bayangan itu pada Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Ramadan DUN Beseri di Dewan 2020 di sini hari ini.
“Insya-Allah, isu sudah selesai (kemelut pelantikan Menteri Besar) dan kerajaan negeri akan dibentuk dalam masa terdekat,” katanya ringkas kepada pemberita.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Dr. Syed Omar Syarifuddin Syed Ihsan berkata, majlis pelantikan Exco itu dijangka akan dilaksanakan pada minggu depan.
“Nama-nama cadangan Exco itu akan diserahkan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajudddin Putra Jamalullail oleh Azlan Man segera untuk dipertimbangkan.
“Sementara itu, bilangan Exco tidak terhad kerana mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis boleh dilantik empat hingga 10 individu,” katanya.
Kosmo! melaporkan hari ini, krisis pelantikan Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis akhirnya menemui penyelesaiannya apabila sembilan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bersepakat menyokong ADUN Bintong itu.
ADUN Chuping, Asmaiza Ahmad berkata, keputusan tersebut tercapai selepas kesemua wakil rakyat terbabit memohon sembah ampun dan menghadap Tuanku Syed Sirajuddin di Istana Arau, Arau dekat sini pada Ahad lalu.
“Kami sebulat suara menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi dan akur dengan titah Tuanku Syed Sirajudddin berhubung pelantikan Azlan Man,” katanya.
Sebelum ini, Azlan Man yang merupakan Menteri Besar Perlis bagi penggal kedua melantik lapan ADUN BN sebagai Exco selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). – K! ONLINE











