KANGAR 6 Jun – Proses pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) negeri ini dijangka selesai dalam tempoh terdekat atau selewat-lewatnya minggu depan.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan berkata, pada masa ini, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man sedang meneliti siapa calon dalam kalangan sembilan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang akan dilantik mengisi setiap portfolio yang bakal ditentukan oleh Azlan sendiri.
Katanya, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri , Menteri Besar boleh melantik sekurang-kurangnya empat hingga 10 Exco.
“Saya difahamkan beliau (Menteri Besar) kini dalam proses meneliti dan memilih siapa yang bakal menjadi Exco sebelum senarai nama dihantar kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
“Mungkin minggu depan semuanya (pelantikan Exco) akan selesai,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan sempena Bulan Ramadan di Dewan 2020 di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Azlan.
Utusan Malaysia semalam melaporkan kemelut Menteri Besar yang berlarutan hampir sebulan selesai, selepas kesemua sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN sebulat suara menyatakan sokongan terhadap Azlan sebagai Menteri Besar seperti mana diperkenankan oleh Tuanku Syed Sirajuddin.
Sementara itu, Azlan ketika diminta mengulas perkara tersebut secara ringkas memaklumkan bahawa soal pelantikan Exco akan selesai dalam tempoh terdekat.
Dalam pada itu, menurut seorang sumber, Azlan berkemungkinan hanya melantik empat atau lima ADUN sebagai Exco berbanding lapan sebelum ini.
Katanya, antara muka baharu yang dilihat bakal dilantik itu ialah Hamizan Hassan (Kayang); Azizan Sulaiman (Santan) selain mengekalkan dua muka lama iaitu
Asmaiza Ahmad (Chuping) dan ADUN Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob.
“Selain itu, ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim dijangka sekali lagi tidak dilantik sebagai EXCO meskipun beliau merupakan antara wakil rakyat paling berpengalaman,” katanya. – UTUSAN ONLINE











