Bekas guru tadika cubit murid tidak siapkan kerja sekolah, didenda RM10,000 - Utusan Malaysia

Bekas guru tadika cubit murid tidak siapkan kerja sekolah, didenda RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Jun – Seorang bekas guru tadika didenda RM10,000 atau penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mencubit anak muridnya berusia empat tahun sehingga lebam di seluruh badan mangsa akibat tidak menyiapkan kerja sekolah, hujung tahun lalu.

Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Aishah Abdul Murad, 31, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah mendera kanak-kanak itu pada hari pertama perbicaraan kes berkenaan yang sepatutnya berlangsung hari ini.

Mengikut pertuduhan, Siti Aishah didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa berusia tiga tahun ketika kejadian, kira-kira pukul 11.15 pagi, 17 November 2017 di dalam kelas Tadika Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Taman Setapak Permai, Wangsa Maju di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ibu tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Muhammad Ashraff memohon hukuman denda dikenakan kepada anak guamnya atas alasan tertuduh kini hilang pekerjaan kerana dipecat dan telah insaf.

“Tertuduh juga memohon maaf kepada mahkamah,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi memohon hukuman denda tinggi dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada wanita itu dan mengambil kira kesan cubitan yang teruk dihidapi mangsa serta trauma kerana takut untuk berjumpa guru di sekolah.

“Saya juga mohon wang pampasan RM5,000 dibayar oleh tertuduh kepada mangsa dan wang jaminan dikembalikan kepada penjamin,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian bapa mangsa, Mohd. Suhairy Mohd. Sukis, 33, telah mengambil anaknya dari tadika berkenaan namun sampai sahaja di rumah, ibu mangsa mendapati terdapat kesan lebam pada seluruh badan anaknya itu.

Mohd. Suhairy telah berjumpa guru besar tadika tersebut untuk membincangkan hal berkenaan dan tertuduh membuat pengakuan bahawa telah mencubit mangsa kerana dia tidak menyiapkan kerja sekolah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini