[VIDEO] Polis lumpuh sindiket dadah libatkan nilai rampasan keseluruhan RM1.45 juta - Utusan Malaysia

[VIDEO] Polis lumpuh sindiket dadah libatkan nilai rampasan keseluruhan RM1.45 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 6 Jun – Polis melumpuhkan satu sindiket yang aktif menghasilkan pelbagai jenis dadah menerusi tangkapan terhadap lapan individu termasuk tiga warganegara asing dalam lima serbuan dijalankan di sekitar sini dan Kuala Kedah awal pagi semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, menerusi serbuan dijalankan antara pukul 2.45 pagi hingga 4.10 pagi itu, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis dadah dengan berat keseluruhan 30.06 kilogram bernilai RM784,590.

“Antara yang dirampas adalah heroin seberat 9.99 kilogram, syabu 5.94 kilogram, 19,400 biji pil kuda seberat 1.85 kilogram, heroin base 1.48 kilogram dan ephederine 10.8 kilogram.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain itu kami turut merampas beberapa cecair kimia, wang tunai berjumlah RM1,880, barang kemas bernilai kira-kira RM51,000 serta 10 buah kenderaan antaranya BMW F10, Subaru V9, Lexus, Toyota Camry dan sebuah motosikal Harley Davidson bernilai RM620,000,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Operasi tersebut dijalankan hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman selain turut melibatkan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING).

Mengulas lanjut katanya mereka yang ditahan terdiri daripada 5 lelaki tempatan, seorang lelaki Singapura, seorang wanita warganegara China dan seorang wanita Laos berusia antara 27 hingga 47 tahun.

“Dalang utama sindiket berkenaan merupakan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang ditahan bersama lelaki warganegara Singapura berusia 57 tahun dalam serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah sewa di Taman Gunung, dekat sini.

“Dia pernah ditangkap tahun lalu, juga atas kesalahan dadah manakala lelaki Singapura itu yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) dipercayai bertanggungjawab menjadi ‘tukang masak’ dadah-dadah itu,” katanya.

Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan dengan kesemua individu berkenaan direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 11 Jun depan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini