HULU TERENGGANU – Tindakan dua lelaki warga Thailand menceroboh kawasan hutan Taman Negara Terengganu dekat sini baru-baru ini bagi mencuri hasil hutan serta memburu hidupan liar mengundang padah setelah kegiatan tersebut berjaya dihidu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar serta Taman Negara (Perhilitan) negeri.
Pengarah Jabatan Perhilitan negeri, Rahmah Ilias berkata, seramai empat anggota Perhilitan telah menyerbu dua buah khemah yang didirikan dua suspek warga asing terbabit pada 27 Mei lalu susulan maklumat diterima daripada orang awam.
Menurutnya, hasil daripada serbuan tersebut, pihaknya telah berjaya merampas sebanyak 13 taring hidupan liar disyaki daripada spesies beruang matahari serta daging babi hutan dan beruang yang telah disalai seberat 1.5 kilogram dianggarkan bernilai lebih RM50,000.
“Selain rampasan daging hidupan liar, kita turut menemui beberapa utas jerat dawai serta peralatan seperti kapak dan gergaji yang digunakan untuk mencuri hasil hutan.
“Kita juga percaya kedua-dua suspek berusia lingkungan 40-an terbabit sampai ke sini menggunakan khidmat orang tengah yang membawa mereka dari Thailand ke kawasan hutan taman negara,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perhilitan Daerah Hulu Terengganu di sini hari ini. – K! ONLINE











