ALOR SETAR 6 Jun – Penerima Anugerah Khas Pembahas Terbaik bagi Parlimen Belia Malaysia 2014 hingga 2016, Muhamad Nur Aizat Noor Azam menawarkan diri untuk mengisi jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO dalam pemilihan yang bakal berlangsung hujung bulan ini.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Merbok berkata, pihaknya percaya landskap politik UMNO akan berubah ekoran kekalahan besar Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Menurut peguam berusia 26 tahun itu, perubahan juga perlu berlaku menerusi pemilihan barisan kepimpinan yang boleh diterima rakyat.
“Saya menawarkan diri kerana berhasrat ingin bersama memberi nafas baru kepada UMNO. Pada masa sama, saya mahu memperjuangkan suara hati orang muda di akar umbi serta menarik kembali minat golongan profesional muda di bawah umur 30 tahun.
“Diharapkan saya akan mendapat sokongan daripada seluruh perwakilan pemuda kerana secara tidak langsung ini dapat membuktikan UMNO tidak ketandusan kepimpinan muda,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Muhamad Nur Aizat yang turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Bahagian Merbok memberitahu, sokongan terhadap dirinya juga bakal membuktikan UMNO membuka peluang kepada pemimpin muda yang berusia di bawah 30 tahun.
Dalam perkembangan sama, Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri turut menawarkan diri untuk mengisi jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO bagi penggal 2018 hingga 2021.
“Di atas semangat ukhwah perjuangan parti selain mahu mengembalikan maruah yang terpalit, saya turut ingin mendapat restu akar umbi Perwakilan Pemuda UMNO seluruh negara sebagai pembawa suara perubahan (dari Pemuda UMNO Kedah) dengan membawa kudrat dalam barisan kepimpinan Exco Pergerakan Pemuda UMNO.
“Mudah-mudahan dengan tawaran khidmat ini ianya menjadi wadah solidariti untuk kita lakukan perkara yang betul dan memastikannya dilakukan dengan betul. Semoga maruah UMNO dikembalikan, keyakinan rakyat disegarkan, kebangkitan kita dimaknakan dan dirasakan,” ujarnya yang turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar. – UTUSAN ONLINE











