A. Aida nafi langsung pernikahan pada September - Utusan Malaysia

A. Aida nafi langsung pernikahan pada September

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Jun – Penerbit terkenal, Datuk A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 47, menepis dakwaan yang mengatakan dia bakal melangsungkan majlis pernikahan pada September ini dengan seorang pelakon baharu yang bernaung di bawah agensi pengurusannya.

A. Aida yang memegang status ibu tunggal sejak lima tahun lalu berkata, gosip tersebut adalah sekadar khabar angin memandangkan hubungan baiknya dengan barisan pelakon yang bekerja dengannya termasuk individu dimaksudkan, Ariff Aziz, 29.

“Jujurnya, memang ada rasa terkilan apabila ada sahaja cerita tidak enak timbul jika saya berkawan rapat dengan mana-mana lelaki muda walaupun perhubungan kami sekadar teman biasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tetapi saya akui, susah nak tutup mulut berjuta-juta orang di luar sana yang ingin membuat spekulasi terhadap saya. Berada dalam industri ini sekian lama, saya lali dan pasrah dengan setiap gosip yang melanda,” katanya kepada Utusan Online.

Namun, dalam masa yang sama, wanita berasal dari Besut, Terengganu itu berkongsi kebimbangannya apabila ramai lelaki muda cuba mendekati untuk berkenalan lebih rapat dengannya.

Apatah lagi, kedudukannya sebagai seorang penerbit yang mengemudi syarikat produksi A. Aida Production serta mengendalikan saluran Salam HD di Unifi TV, dia gusar ada niat yang tidak baik di sebalik hubungan yang terjalin.

“Sebenarnya saya amat bimbang jika ada mana-mana lelaki yang baik dengan saya disebabkan duit atau harta semata-mata. Sebab itu kena hati-hati.

“Bukan senang untuk saya jatuh cinta walaupun memang ramai lelaki di luar sana cuba menabur cinta mereka,” ulasnya lagi.

Terdahulu, hubungan antara A. Aida dan Ariff Aziz mula diperkatakan sejak kedua-duanya sering kelihatan bersama ke acara-acara hiburan sejak kebelakangan ini.

“Tambahan pula, sekarang ini tengah sibuk dengan penggambaran filem pertama terbitan produksi saya iaitu Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda.

“Ariff juga antara salah seorang pelakon yang membintangi naskhah arahan Bade Azmi itu,” ujarnya.

Tambah A. Aida, dia selesa dengan kehidupan solonya di sisi tiga orang anak, Wan Az Aleesa, 22, Wan Azevanatassha, 17, dan Muhammad Rahul, 10, tanpa ada komitmen terhadap hubungan cinta dengan sesiapa termasuk Ariff. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini