BUKIT KAYU HITAM – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya merampas wang tunai sebanyak RM300,000 selepas menahan sebuah van bernombor pendaftaran Thailand yang dinaiki dua lelaki di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini pada 5 Mei lalu.
Pengarahnya, Datuk Johari Alifiah berkata, van tersebut yang datang dari arah Thailand dipandu lelaki warganegara jiran tersebut berusia 43 tahun dan penumpang rakyat Malaysia berusia 63 tahun yang merupakan seorang peniaga ditahan ketika melalui lorong pemeriksaan kenderaan di kompleks berkenaan kira-kira pukul 10.45 pagi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan, pegawai Kastam Cawangan Penguatkuasaan JKDM Bukit Kayu Hitam menemui wang tunai berjumlah RM100,000 yang disembunyikan pada bahagian bawah dalam papan pemuka van tersebut.
“Wang yang ditemui itu disyaki tidak diisytiharkan kepada JKDM dan tidak mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan menahan dua lelaki terbabit,” katanya pada sidang akhbar di pejabat JKDM Bukit Kayu Hitam di sini sebentar tadi.
Johari memberitahu, anggota JKDM Bukit Kayu Hitam menahan seorang lagi lelaki warganegara Thailand selepas didapati cuba memecah masuk dan menggeledah van yang disita itu yang diletakkan sementara di tempat letak kereta jabatan di ICQS tersebut dengan menggunakan kunci pendua kira-kira pukul 3.30 petang pada hari sama.
“Hasil daripada tangkapan lelaki berkenaan telah menemui lagi RM150,000 yang diletakkan di dalam beg silang yang terdapat dalam van tersebut dan pemeriksaan seterusnya menemui RM50,000 dalam papan pemuka atas ruang penumpang.
“Jumlah keseluruhan wang tunai yang dirampas dalam van tersebut ialah RM300,000 dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui aktiviti yang dijalankan ketiga-tiga lelaki terbabit di Malaysia dan Thailand,” katanya.
Beliau berkata, ketiga-tiga lelaki terbabit ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967. – K! ONLINE











