KUALA LUMPUR 6 Jun – Berpeluang merakamkan semula lagu raya malar segar merupakan satu penghormatan kepada barisan penyanyi baharu.
Sehubungan itu Solaris Music Entertainment menggabungkan artis naungan seperti Ammy Fara , Farhan Maarob, Khalis Real Spin , Yazz Abdullah dan Zakuan Mazlan untuk menyanyikan semula lagu-lagu popular tersebut.
Antara lagu yang dibuat rakaman semula adalah Menjelang Hari Raya (Farhan), Seloka Hari Raya (Khalis dan Yazz), Balik Kampung (Zakuan), Suasana Riang Di Hari Raya dan Suasana Di Hari Raya (Ammy Fara), Cahaya Aidilfitri (Yazz), Suasana Hari Raya serta Selamat Hari Raya.
Bagi Yazz, biarpun menyanyikan semula lagu lama, dia tetap gembira kerana dapat menyanyikan lagu raya yang setiap tahun menjadi pilihan ramai.
“Biarpun lagu lama tapi untuk saya merupakan satu kebanggaan kerana sudah bertahun lagu itu dinikmati setiap kali raya. Selalunya bila kita nyanyi semula lagu sedia ada, orang suka bandingkan tapi saya tak kisah kerana saya sampaikan lagu tersebut dengan gaya sendiri.
“Lagipun lagu-lagu yang didendangkan itu telah dibuat susunan muzik baharu untuk disesuaikan dengan situasi sekarang. Jujurnya saya tak takut jika ada yang membandingkan gaya penyampaian saya dengan penyanyi asal kerana lagu itu didendangkan mengikut gaya saya,” katanya terus terang.
Yazz atau Mohd. Yasir Arafat, 27, yang tampil dengan single Dan Kerna Cinta, ciptaan penuh olehnya itu berkata, lagu tersebut belum sempat dipromosikan secara padu kerana kekangan waktu.
“Lagu itu telah dimuat naik dalam YouTube sejak April lalu tapi belum ada promosi kerana waktu itu sibuk dengan pilihan raya. Mungkin lepas raya nanti saya akan kembali mempromosi lagu tersebut,” katanya yang beraya di Kampung Batu Muda, Gombak, di sini.
Sementara itu, Khalis atau Muhammad Khalis Shari, 30, vokalis kumpulan Real Spin berkata, lagu-lagu raya malar segar sudah sebati dengan jiwanya. Untuk itu dia tidak ada sebarang masalah sewaktu rakaman.
Katanya, lagu-lagu raya malar segar tidak pernah jemu didengar kerana mempunyai nostalgia pada setiap pendengar.
“Saya sudah biasa dengan lagu-lagu raya lama, jadi tidak ada masalah sewaktu rakaman. Sebaliknya, jadi bersemangat sewaktu rakaman. Saya harap pendengar tidak membuat bandingan kerana saya menyanyikan lagu tersebut dengan gaya sendiri,” jelasnya.
Berpeluang menyertai projek lagu raya syarikat berkenaan, Khalis berharap di masa akan datang dia berpeluang menyanyikan lagu raya baharu.
Dalam pada itu, kata Khalis, buat masa sekarang dia bebas untuk bergerak solo tanpa anggota Real Spin kerana kontraknya sebagai vokalis kumpulan tersebut akan berakhir Julai ini. – UTUSAN ONLINE











