Baju Raya Eksklusif taruhan terkini Izzmad Harun - Utusan Malaysia

Baju Raya Eksklusif taruhan terkini Izzmad Harun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Jun – Hari Raya ini amat bermakna kepada Izzmad Harun dengan kelahiran lagu rayanya berjudul Baju Raya Eksklusif berkonsepkan Broadway Blues.

Tiada kesedihan atau kerisauan di hari mulia, itulah erti hari raya yang sebenar kepada penyanyi kelahiran Teluk Intan, Perak itu.

Irama yang indah untuk dinikmati, Izzmad berharap lagu itu akan menjadi antara lagu kegemaran ramai setiap kali tibanya hari lebaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lagu itu juga menjadi lagu tema telefilem berjudul sama arahan Shuhaimi Lua Abdullah. Telefilem itu akan disiarkan di TV3 pada hari raya ini.

Baju Raya Eksklusif ciptaan komposer Royce Sa’ayan dan lirik turut dikarang olehnya.

Menurut Izzmad, dia begitu teruja kerana ada lagu raya sendiri dan biarpun, dia masih bergelut untuk menempatkan dirinya dalam arus perdana dunia hiburan tanah air, namun Izzmad tidak pernah patah semangat. Malah dengan bantuan pengurusnya Ianz Fariz, mereka berdua terus berjuang dan hasil kerja keras, Izzmad juga turut menceburi dunia lakonan.

“Belum berpeluang pegang watak besar tetapi setiap watak yang saya lakonkan akan dibawa dengan sebaik mungkin. Sekecil atau sebesar mana pun watak yang dilakonkan ia adalah satu amanah dan memerlukan penghayatan yang mendalam.

“Saya pergi ke kelas lakonan dan mendalami seni mempertahankan diri sebagai persediaan. Bukan tabiat saya, apabila dapat watak baru mahu berlatih. Saya perlu bersedia bila-bila masa saja,” katanya.

Terbaru, penyanyi lagi Nilai Kasih itu akan berlakon dalam filem aksi yang kini dalam proses membaca skrip dan memahami karakter

“Saya tidak sabar untuk beraksi dalam filem pertama lakonan saya. Daripada watak kecil, pihak produksi mengembangkan watak saya menjadi lebih besar kerana kelebihan saya dalam seni mempertahankan diri,” katanya.

Terdahulu, Izzmad baru selesai penggambaran telefilem berjudul Sembilu Dosa khusus untuk siaran Hari Ibu bakal mengisi slot RTM.

Dalam telefilem terbitan Tenview Production itu, Izzmad pegang watak bernama Saleem iaitu anak seorang pemilik kilang kerepek.

Ujar Izzmad, projek lain dalam perancangan dia akan merakamkan lagu berkonsepkan kontemporari ketuhanan.

“Lagu itu akan dijadikan lagu tema untuk sebuah telefilem yang akan menjalani penggambaran pada masa terdekat untuk siaran TV3.

“Untuk lagu ini, saya berkolaborasi dengan abang Ianz bagi mengorak langkah dalam bidang penciptaan dan menulis lirik lagu pula.

“Saya perlu bersedia untuk mempelbagaikan bakat dan kebolehan saya dalam bidang seni. Mungkin selepas ini saya boleh menghasilkan lirik untuk penyanyi baru,” katanya.

Akhir bicara, kata Izzmad kepada produksi yang berminat untuk menggunakan suaranya menyanyikan lagu tema secara solo atau berduet untuk telefilem atau drama rantaian terbitan mereka, dia bersedia untuk bekerjasama. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini