[VIDEO] Kes saman Manjeet, Americk terhadap Adnan, selesai - Utusan Malaysia

[VIDEO] Kes saman Manjeet, Americk terhadap Adnan, selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Jun – Kes saman peguam Manjeet Singh Dhillon dan Americk Sidhu terhadap bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berhubung yuran dan kos guaman kepada kedua-dua peguam berkenaan, berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Peguam Adnan Seman yang mewakili Adnan memberitahu pemberita, penyelesaian itu direkodkan oleh Hakim Nurul Husna Awang di kamar hakim.

Menurut Adnan, dengan itu Manjeet dan Americk selaku pihak plaintif, telah menarik balik saman tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terma dan syarat penyelesaian bagaimanapun tidak didedahkan.

Manjeet dan Americk dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 11 Januari lalu menyatakan, Adnan yang dinamakan sebagai pihak defendan tidak menjelaskan bayaran yuran guaman berjumlah RM214,825 bagi tindakan undang-undang yang diambilnya terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) kira-kira empat tahun lalu.

Pihak plaintif menyatakan, Adnan telah melantik Manjeet pada 18 November 2014 sebagai peguam beliau untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas UMMB.

Manjeet mendakwa dengan persetujuan dan perjanjian dengan Adnan, beliau melantik Americk sebagai peguam bersama dalam kes terhadap UMMB yang ditetapkan untuk pendengaran pada 27 Julai dan 1 September 2015.

Kira-kira dua minggu sebelum perbicaraan, UMMB memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan Adnan atas alasan pihak defendan tiada hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk mengemukakan tuntutan tersebut. Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan UMMB namun Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan UMMB.

Mahkamah Persekutuan bagaimanapun membenarkan rayuan Adnan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang berpihak kepada UMMB selain memerintahkan supaya tindakan saman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Pihak plaintif telah mengemukakan satu bil untuk kesemua prosiding Mahkamah Persekutuan dan defendan telah menjelaskan sepenuhnya.

Kes saman Adnan terhadap UMMB telah ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi antara 7 Ogos dan 11 Ogos 2017 namun tuntutan itu berjaya diselesaikan dengan baik selepas rundingan dengan peguam terlibat.

Plaintif kedua telah menyediakan satu bil terperinci mengenai kos-kos yang dihadiri kedua-dua plaintif untuk prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Namun pihak plaintif mendakwa pihak defendan telah gagal dan cuai untuk melunaskan pembayaran berjumlah RM214,825 berserta faedah pada kadar lapan peratus setahun dari 11 Ogos 2017 sehingga penyelesaian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini